Pengepungan Pengepungan Malta (1565)

Pengepungan Malta karya Ignazio Danti pada abad ke-16. Kini disimpan di Muzium Vatikan.

Ketibaan Uthmaniyah

Pada 18 Mei 1565, armada Uthmaniyah yang besar mula kelihatan dari pulau dan mereka berlabuh di kawasan pantai selatan. Armada Uthmaniyah telah mendaratkan kapal gali mereka yang hanya terletak tujuh batu dari selatan Grand Harbour sebelum kawasan tumpuan pantai didirikan di sana. Daripada posisi baru ini, tentera Uthmaniyah terus mara menuju ke pedalaman di Birgu sambil digugat oleh kesateria yang berjuang secara gerila. Apa-apa pun, tentera Uthmaniyah berjaya tiba berhampiran benteng pertahanan Grand Harbour. Mereka juga menempatkan meriam-meriam gergasi di Santa Margherita dan Gunung Sciberras yang merupakan sebuah bukit strategik menghadap ke arah Grand Harbour.

Pada 21 Mei, Piali Pasha mengarahkan serangan ke atas Birgu dan ia telah ditangkis oleh askar-askar Sepanyol. Pada hari seterusnya, tentera Uthmaniyah dilihat memberanikan diri menyerang dekat kubu Senglea dan sekali lagi mereka hanya mampu melakukan sedikit kemaraan ekoran berhadapan dengan kubu yang dipertahankan rapi. Berikutan ini, panglima Uthmaniyah meragui akan laluan serangan pasukannya. Mustafa berhasrat untuk menyerang kawasan pedalaman dan menguasai kubu yang lemah iaitu Mdina lalu semangat juang tentera Kristian akan lemah. Sementara itu, Piali Pasha pula berkeras bahawa penguasaan kubu Saint Elmo sangat penting untuk mencapai kejayaan. Akhirnya, rancangan Piali dipilih dan garison Uthmaniyah di Gunung Sciberras mula menggerakkan artileri menuju ke kubu Saint Elmo yang terletak di pantai sambil dikawal oleh janissari. Pengintip kepada La Valette memberitahunya sasaran sebenar yang ingin dituju oleh Uthmaniyah. Beliau mengirim 150 orang kesateria untuk mengukuhkan tahap pertahanan di sana. Ekoran pergerakan tentera Uthmaniyah yang perlahan, para kesateria di kubu Saint Elmo yang bersemangat melangkah keluar dan menghendap musuh lalu berlaku pertempuran kecil. Kedua-dua belah pihak mengalami kerugian nyawa tetapi kemaraan Uthmaniyah mula sedikit pantas.

Pada 24 Mei, penggali Uthmaniyah telah menggali parit yang tidak jauh dari benteng kubu Saint Elmo diikuti tiga barisan artileri, kavalri ringan dan kulverin di hadapan dan terdapat basilisk gergasi berada di belakang. Pembedilan kubu Saint Elmo bermula dan meriam Uthmaniyah dapat menghancurkan benteng Saint Elmo. Tentera pertahanan tidak dapat berbuat apa-apa untuk melakukan serangan balas apabila mereka dihujani bedilan meriam Uthmaniyah. La Valette menyaksikan serangan tersebut dari kubu Saint Angelo dan mengarahkan tenteranya melepaskan tembakan ke arah barisan meriam Uthmaniyah. Ledakan ini mencetuskan keadaan huru-hara di pihak Uthmaniyah sehinggakan terdapat batu yang terlepas menghentam Piali Pasha lalu membuatkannya tidak sedarkan diri. Ramai tentera Uthmaniyah menyangkakan bahawa pemimpinnya itu telah terkorban. Di kala waktu malam, tentera Uthmaniyah jelas tidak dapat menembusi benteng pertahanan di Saint Elmo. Komander pasukan pertahanan di dalam kubu Saint Elmo merayu kepada La Valette untuk membenarkan tentera-tenteranya meninggalkan pos kawalan dan berundur ke Saint Angelo. Grandmaster Knights Hospitaller itu menolak dan berfikir bahawa beliau perlu bertahan dengan sedaya upaya sambil menunggu bantuan luar tiba. Beliau kemudian menyatakan kubu Saint Elmo perlu dipertahankan walau apa jua sekalipun.

Pada hari seterusnya, pertempuran terus berlangsung lagi. Buat masa ini, penembak tepat Uthmaniyah berpaling ke arah kubu Saint Angelo untuk memastikan serangan dari kubu tersebut dapat dipastikan sekali gus dapat melindungi meriam yang lain melakukan bedilan ke Saint Elmo. Pada 29 Mei, penggali Uthmaniyah mula menggali parit menuju ke benteng pertahanan Saint Elmo dalam usaha untuk menjejaskan dan melemahkan asas binaan benteng. Pada malam itu, dua buah pasukan Sepanyol bergerak keluar daripada kubu sambil dilindungi oleh pekat malam melancarkan serangan mengejut ke atas penggali Uthmaniyah yang sibuk membuat kerja penggalian dan tidak mempunyai kawalan keselamatan. Ramai penggali telah terkorban tetapi tentera janissari segera terjaga dari lena dan bergerak dengan kepantasan luar biasa. Tentera elit sultan itu memberi tekanan hebat ke atas musuh sehingga memaksa tentera Sepanyol berundur ke benteng kubu mereka yang telah rosak.

Penawanan Kubu Saint Elmo

Pada 2 Jun, Dragut akhirnya tiba bersama dengan 13 buah kapal gali yang membawa 1,500 tentera. Sehingga titik ini, kesateria telah melayarkan feri yang cukup pantas semasa pekat malam untuk memberikan bekalan kepada kubu Saint Elmo dari Sicily. Tindakan pertama Dragut ialah mendirikan pasukan meriam di Gallow's Point. Dengan kedudukan yang baik dari Pelabuhan Marsamxett, beliau dapat melepaskan serangan ke arah mana-mana kapal yang menghulurkan bantuan kepada Saint Elmo sekali gus menjadikan kubu Saint Elmo terasing dan terpencil dari saki baki pulau yang lain. Namun pada 9 Jun, sebuah pasukan berkuda kesateria dari Mdina melakukan serangan mengejut ke atas penembak Uthmaniyah di Gallow's Point. Pasukan kesateria ini berjaya menyelerakkan dan mengganggu fokus meriam Uthmaniyah sekali gus membolehkan feri-feri dapat menghulurkan bantuan kepada Saint Elmo sekali lagi.

Pada 3 Jun, serangan yang dilancarkan oleh janissari berjaya membolehkan mereka untuk mengatasi dan memintas dinding ravelin. Dari situ, mereka telah membina jalan berkayu menghadap benteng dan bersembunyi supaya mereka dapat memanjat benteng Saint Elmo. Pasukan kesateria, tentera Sepanyol dan pejuang tempatan Malta telah bertahan dari serangan Uthmaniyah sehinggakan mereka dapat melakukan tentangan hebat yang menghasilkan jumlah angka korban yang ramai di pihak Uthmaniyah. Infantri Uthmaniyah telah melontarkan diri mereka sendiri ke runtuhan benteng Saint Elmo pada 10, 15 dan 16 Jun tetapi kesemuanya telah ditangkis oleh pasukan pertahanan. Terdapat laporan kontemporari yang menyatakan bahawa keberanian pejuang tempatan Malta semasa bertempur hampir menyamai keberanian dimiliki oleh pasukan kesateria. Hari demi hari kubu tersebut dipertahankan dengan bersungguh-sungguh dan ia merupakan masa berharga bagi pasukan pertahanan yang berada di kubu Saint Angelo dan Saint Michael. Mereka dapat mengorak langkah menyiapkan pertahanan sementara menunggu ketibaan Don Garcia bersama angkatannya. Dengan cara apa sekalipun, kubu Saint Elmo bersama penghuni di dalamnya perlu berkorban supaya seluruh pulau Malta dapat diselamatkan.

Pada 17 Jun, Dragut telah cedera parah di parit Uthmaniyah yang hampir-hampir meragut nyawa beliau sama sekali. Sumber-sumber tidak memerincikan dengan jelas sama ada ia berpunca daripada ledakan oleh meriam pasukan beliau sendiri atau ditembak oleh penembak tepat Malta dari kubu Saint Elmo. Apapun puncanya, Dragut telah diusung keluar daripada medan pengepungan. Pada 22 Jun, tentera janissari berjaya menyiapkan satu jambatan yang menyeberangi parit-parit di luar kubu lalu membolehkan angkatan besar Uthmaniyah melakukan serangan secara terus menerus dari segenap arah. Pasukan pertahanan di dalam kubu hanya dapat bertahan selama satu malam sebelum menjelang 23 Jun, mereka akhirnya kecundang dengan jumlah yang sedikit serta diserang oleh penembak tepat Uthmaniyah yang bertapak di ravelin. Pada hari yang sama, Dragut tewas kepada kecederaannya dan meninggal dunia. Penawanan kubu Saint Elmo hakikatnya merupakan kejayaan Phyrric bagi tentera Uthmaniyah. Pengepungan kubu tersebut menelan masa selama tiga minggu dan angkatan bantuan Don Garcia pula semakin hampir untuk berlabuh.

Senglea dan Birgu

Pada 4 Jun, Piali Pasha mengarahkan meriam-meriam yang digunakan semasa pengepungan Saint Elmo dibawa ke benteng Senglea. Gelombang ledakan yang baru tercetus dan fokus mereka kini tertumpu kepada kubu Saint Michael. Sementara itu, tentera Uthmaniyah telah 'melayarkan' kapal-kapal kecil mereka di pantai lalu membawanya ke kawasan pedalaman melalui kaki Gunung Scribberas sebelum sampai ke sungai kecil yang berada di bahagian barat Senglea dan juga melintasi meriam-meriam dari kubu Saint Angelo. Pada 15 Jun, tentera Uthmaniyah memulakan dua serangan yang berlainan. 1,500 korsair Uthmaniyah menyerang Sengela dari daratan manakala seramai 1,000 janissari pula cuba turut sama melakukan serangan. Mujurlah terdapat seorang pembelot Yunani telah memberi amaran kepada La Valette mengenai rancangan Mustafa. Pasukan kesateria bertindak membina pagar kayu bertombak di sepanjang kawasan teluk untuk menghalang pendaratan tentera Uthmaniyah di sana. Mereka juga telah menempatkan sebuah pasukan meriam yang menghadap ke arah jalah laut dan telah ditugaskan untuk menghujani serangan ke atas pihak musuh. Hasilnya, mereka berjaya menenggelamkan ratusan tentera Uthmaniyah. Dengan keadaan yang serentak, serangan tentera Uthmaniyah dari darat juga dapat ditangkis dan Malta dilihat masih berdegil untuk ditawan.

Serangan meriam terus dilancarkan oleh kedua-dua belah pihak. Pada 7 Ogos, Mustafa Pasha mengarahkan serangan penuh. Seramai 12,000 tentera mengasak benteng Senglea dan Birgu manakala artileri Uthmaniyah membedil hebat sehinggakan pasukan pertahanan tunduk dan menyerah. Situasi seterusnya menyaksikan benteng pertahanan Birgu terus rosak dan akan runtuh. Tentera Uthmaniyah pula bersiap sedia melancarkan serangan melalui runtuhan benteng tersebut. Pertempuran sengit tercetus di laluan-laluan kota Birgu. Apabila tentera Uthmaniyah meneruskan kemaraan ke dalam kota, nampaknya kota tersebut akan jatuh dan ditawan oleh Uthmaniyah. Namun, Malta sekali lagi bertuah dan terselamat. Sebuah kontinjen yang terdiri daripada 100 tentera Sepanyol dan kavalri kesateria bertolak dari Mdina dan menguasai kem Uthmaniyah yang tidak dikawal. Mereka telah menyerbu, membunuh tentera Uthmaniyah yang tercedera, membakar khemah-khemah dan memusnahkan bekalan. Apabila berita ini tersebar kepada tentera Uthmaniyah yang berada di Birgu, mereka mula panik dan cemas. Dengan menjangkakan bahawa lebih ramai tentera pertahanan akan sampai, tentera Uthmaniyah berundur dari Birgu dan kembali ke kem. Hari tersebut telah dimenangi oleh kesateria.

Mdina dan kemenangan kesateria

Pengunduran Uthmaniyah dari Malta pada 13 September 1565.

Pada masa tersebut, semangat juang tentera Uthmaniyah mula jatuh dan lemah. Lebih-lebih lagi, kematian Dragut telah melemahkan kepimpinan tentera Uthmaniyah setelah Piali Pasha dan Mustafa kini berselisih sesama mereka yang telah membawa kepada perpecahan dalam keseluruhan pasukan. Di Constantinople, Sultan Sulaiman tidak senang akan perkembangan kempen di Malta yang perlahan dan beliau telah mengutuskan beberapa surat kepada Mustafa untuk menginginkan laporan semasa. Hasrat tentera Uthmaniyah untuk terus berjuang telah luntur dengan mendadak. Memasuki bulan baru, Mustafa mengarahkan tenteranya berarak ke Mdina dan mereka hanya berhadapan dengan ancaman daripada serangan meriam musuh yang datang dari dalam kota Mdina. Dari sisi Uthmaniyah, mereka merasakan kota Mdina mempunyai jumlah bekalan peluru meriam yang mencukupi. Namun pada hakikatnya, ia merupakan satu lagak yang dilakukan oleh kota yang sama sekali tidak melakukan persediaan menghadapi situasi ini. Helah ini akhirnya berjaya apabila Mustafa berasa gerun dan mengarahkan kepada pasukannya supaya berundur.

Pada 7 September, keselamatan Malta terjamin. Selepas sebulan tertunda, Don Garcia tiba di St Paul's Bay bersama dengan tentera bantuan seramai 8,000 orang. Melihat kepada keadaan ini, tentera Uthmaniyah akhirnya kehilangan tekad dan bertindak berundur ke kapal mereka. Sesetengah kesateria yang bersemangat dimantapkan dengan bantuan ketenteraan melakukan serangan ke atas tentera Uthmaniyah yang sedang berundur. Apabila tentera bantuan menyertai mereka, ratusan musuh terkorban ekoran serangan ini. Pada 13 September, semua tentera Uthmaniyah telah berundur dari Malta sepenuhnya.